Blog Tazkirah

Cuma di blog ni, saya kongsikan email-email tazkirah dan yang berkaitan Islam yang saya terima. Pembaca perlu mendapatkan maklumat tambahan mengenai apa yang dibaca. Penulis tidak dapat memastikan semua yang ada di sini adalah benar.
Showing posts with label public mutual. Show all posts
Showing posts with label public mutual. Show all posts

Saturday, April 9, 2011

Doa Tergantung

Salawat ke atas Junjungan Nabi SAW adalah satu amalan yang tidak dapat kita terkaya daripadanya.
Seseorang yang hendakkan kejayaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat mesti senantiasa membasahkan lidahnya dengan ucapan Salawat ke atas Junjungan SAW.
Salawat juga menjadi sebab bagai terkabulnya segala hajat dan permintaan, bahkan dikatakan bahawa segala permohonan dan doa itu hanya akan tertahan langit dan bumi, tak boleh dibawa naik-naik ke langit kemuliaan jika si pendoa lalai dari berSalawat atas Junjungan SAW.
Besar sungguh nikmat dan wasilah amalan Salawat ini.
Imam at-Tarmidzi rahimahUllah meriwayatkan dalam "Sunan"nya pada "Kitab al-Witr - Bab Ma Jaa-a fi Fadhl ash-Sholaah 'ala an-Nabiy SAW" bahawa Sayyidina 'Umar RA berkata:

"Sesungguhnya sesuatu doa itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak naik sesuatupun daripadanya sehingga orang yang berdoa tersebut berSalawat ke atas Nabimu SAW."
Difahami bahawa doa dan munajat seseorang hamba yang faqir lagi hina, penghuni alam sufli (rendah) berupa bumi ciptaan Allah SWT, tidak akan dibawa naik ke alam 'ulwi, kerajaan atas di langit (viz. kerajaan langit tapi bukan kerajaan langit Ayappan @ Ayah Pin).
Dan jangan juga beri'tiqad yang Allah itu duduk bertempat di langit, harus difahami bahawa langit itu tempat pusat kerajaanNya dengan arasy sebagai pusat pemerintahan dan makhlukNya yang terbesar.
Langit itu punya penghuni sendiri dari kalangan hamba-hamba Allah yang mulia, para malaikat yang maksum. Diangkatnya doa seseorang ke langit itu memberi faham bahawa doa tersebut adalah sesuatu yang bakal dimuliakan dengan nilaian ibadah dan insya-Allah akan dikabulkan oleh Allah SWT.
Kalau tidak diangkat ertinya doa tersebut tiada class dan direject.

Dikatakan bahawa Kaabah adalah qiblat sewaktu kita berSolat, dan langit itu qiblat bagi seseorang yang berdoa.
Makanya, tatkala berdoa seseorang itu disunnatkan untuk menadah tangan ke langit.
Menadah tangan ke langit bukan ertinya Allah itu bertempat di langit kerana Allah ta`ala itu tidak mengambil tempat dan ruang, dan tidak juga berjihat.
Ini tidaklah menafikan elok dan bagusnya untuk seseorang berdoa dengan mengadap juga ke BaitUllah, melainkan dalam beberapa keadaan yang dijelaskan oleh para ulama kita.

Imam al-Qurthubi rahimahUllah menulis dalam tafsirnya "al-Jami' li Ahkam al-Quran", juzuk 9 halaman 436 sebagai berikut:-
"... Adapun sebab diangkat tangan ketika berdoa ke langit adalah kerana langit adalah tempat turunnya wahyu, turunnya hujan, tempat yang suci, tempat makhluk-makhluk yang suci daripada kalangan malaikat. Di atas langit terdapat 'arsy dan syurga."

Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam "Syarah Muslim" tatkala memperjelaskan makna "hadith jariah" yang masyhur itu, menulis, antara lain, seperti berikut:-
Dialah Allah yang Maha Esa yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap Kaabah,
dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap Kaabah ketika berSolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) Kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah).
Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang Solat.

Allahu .. Allah, betapa besarnya wasilah Salawat atas Junjungan Nabi SAW yang dengannya doa yang keluar dari seseorang hamba ini akan dapat naik ke langit kemuliaan untuk diterima dan dikabulkan.
Maka jangan hanya tahu meminta tetapi malas berSalawat atas Nabi yang dengan keberkatannya terkabul segala permintaan.

Minta jangan tak minta, tapi jangan lupa Salawatnya.

Kluang Railway Coffee Tak Halal

KLUANG RAILWAY COFFEE TAK HALAL

Johor Bahru:
Sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.

Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal AbidinOsman yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.

“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.

“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal. “Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya. 

Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin. 

“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ. 

“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi. 

Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan. 

Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera. 
“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera. 

“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan. 

“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya. -hm