Blog Tazkirah

Cuma di blog ni, saya kongsikan email-email tazkirah dan yang berkaitan Islam yang saya terima. Pembaca perlu mendapatkan maklumat tambahan mengenai apa yang dibaca. Penulis tidak dapat memastikan semua yang ada di sini adalah benar.

Tuesday, April 26, 2011

Kaedah Merawat Demam Menurut Islam

Kaedah Merawat Demam Menurut Islam

oleh: Ustaz Wahid Abd Haniff ( wahid@telagabiru.net.my )

Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman,
“Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”

Abu Hurairah r.a berkata:
“Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”

Sejukkannya dengan Air

Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’ meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:
Maksudnya:
“Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”

Lalu berendam sebanyak 3 kali selama 3 hari berturut-turut. Jika sembuh, alhamdulillah. Jika belum sembuh juga, ulangi hingga 5 hari. Jika belum sembuh juga, maka 7 hari. Biasanya tidak pernah lebih dari 7 hari, dengan izin Allah.

Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya demam itu merupakan legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.”
(Riwayat Muslim no. 5889)

Begitu juga sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.”
(Riwayat Muslim no. 5882)

Membaca Ruqyah

Rasulullah s.a.w. juga menyarankan agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:
Maksudnya:
“Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”

Imam al-Baihaqi juga ada meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata:
“Rasulullah s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan.
Tetapi jika kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’
Aisyah berkata:
‘Ajarilah aku.’
Baginda bersabda:
“Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”

“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.”
Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh.
Dalam satu riwayat ada tambahan,
“Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”

Berpunca daripada Bahang Neraka?

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, maksud ucapan Nabi s.a.w.
“demam itu berpunca daripada bahang neraka jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan dalam hadis yang lain,
“Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang jahanam.”

Di sana ada 2 pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut.
Pendapat pertama menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran.
Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.

Manakala pendapat kedua pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam.
Allah s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka.
Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.

Maksud Air

Ucapan Nabi s.a.w. “sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat 2 pengertian.
Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar.
Ke-2, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita:
“Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam.
Kemudian Ibn Abbas berkata,
‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud),
‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka jahanam.
Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ @ Baginda s.a.w. menyebut, ‘Air zamzam.’”

Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat.
Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain.
Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan.
Dalam 2 pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.

Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan.
Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya’ dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud:
“Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama 3 malam pada waktu fajar.”
(Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)

Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ menyebut:
“Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.”
Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata,
“Hadis tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.”
Yang dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.

Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.”
Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w. meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, kemudian Baginda mandi.”
(Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar)

Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata:
“Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut.
Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):
‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’”
(Riwayat Ibn Majah)

Menurut riwayat sebuah athar iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”

Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya.
Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak 360.
Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.

sumber: SOLUSI

Saturday, April 9, 2011

Doa Tergantung

Salawat ke atas Junjungan Nabi SAW adalah satu amalan yang tidak dapat kita terkaya daripadanya.
Seseorang yang hendakkan kejayaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat mesti senantiasa membasahkan lidahnya dengan ucapan Salawat ke atas Junjungan SAW.
Salawat juga menjadi sebab bagai terkabulnya segala hajat dan permintaan, bahkan dikatakan bahawa segala permohonan dan doa itu hanya akan tertahan langit dan bumi, tak boleh dibawa naik-naik ke langit kemuliaan jika si pendoa lalai dari berSalawat atas Junjungan SAW.
Besar sungguh nikmat dan wasilah amalan Salawat ini.
Imam at-Tarmidzi rahimahUllah meriwayatkan dalam "Sunan"nya pada "Kitab al-Witr - Bab Ma Jaa-a fi Fadhl ash-Sholaah 'ala an-Nabiy SAW" bahawa Sayyidina 'Umar RA berkata:

"Sesungguhnya sesuatu doa itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak naik sesuatupun daripadanya sehingga orang yang berdoa tersebut berSalawat ke atas Nabimu SAW."
Difahami bahawa doa dan munajat seseorang hamba yang faqir lagi hina, penghuni alam sufli (rendah) berupa bumi ciptaan Allah SWT, tidak akan dibawa naik ke alam 'ulwi, kerajaan atas di langit (viz. kerajaan langit tapi bukan kerajaan langit Ayappan @ Ayah Pin).
Dan jangan juga beri'tiqad yang Allah itu duduk bertempat di langit, harus difahami bahawa langit itu tempat pusat kerajaanNya dengan arasy sebagai pusat pemerintahan dan makhlukNya yang terbesar.
Langit itu punya penghuni sendiri dari kalangan hamba-hamba Allah yang mulia, para malaikat yang maksum. Diangkatnya doa seseorang ke langit itu memberi faham bahawa doa tersebut adalah sesuatu yang bakal dimuliakan dengan nilaian ibadah dan insya-Allah akan dikabulkan oleh Allah SWT.
Kalau tidak diangkat ertinya doa tersebut tiada class dan direject.

Dikatakan bahawa Kaabah adalah qiblat sewaktu kita berSolat, dan langit itu qiblat bagi seseorang yang berdoa.
Makanya, tatkala berdoa seseorang itu disunnatkan untuk menadah tangan ke langit.
Menadah tangan ke langit bukan ertinya Allah itu bertempat di langit kerana Allah ta`ala itu tidak mengambil tempat dan ruang, dan tidak juga berjihat.
Ini tidaklah menafikan elok dan bagusnya untuk seseorang berdoa dengan mengadap juga ke BaitUllah, melainkan dalam beberapa keadaan yang dijelaskan oleh para ulama kita.

Imam al-Qurthubi rahimahUllah menulis dalam tafsirnya "al-Jami' li Ahkam al-Quran", juzuk 9 halaman 436 sebagai berikut:-
"... Adapun sebab diangkat tangan ketika berdoa ke langit adalah kerana langit adalah tempat turunnya wahyu, turunnya hujan, tempat yang suci, tempat makhluk-makhluk yang suci daripada kalangan malaikat. Di atas langit terdapat 'arsy dan syurga."

Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam "Syarah Muslim" tatkala memperjelaskan makna "hadith jariah" yang masyhur itu, menulis, antara lain, seperti berikut:-
Dialah Allah yang Maha Esa yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap Kaabah,
dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap Kaabah ketika berSolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) Kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah).
Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang Solat.

Allahu .. Allah, betapa besarnya wasilah Salawat atas Junjungan Nabi SAW yang dengannya doa yang keluar dari seseorang hamba ini akan dapat naik ke langit kemuliaan untuk diterima dan dikabulkan.
Maka jangan hanya tahu meminta tetapi malas berSalawat atas Nabi yang dengan keberkatannya terkabul segala permintaan.

Minta jangan tak minta, tapi jangan lupa Salawatnya.

KHAT ARAB: SEJARAH RINGKAS 2

2. BRIEF ASPECTS OF ARABIC TYPE.
———————————————————————————————————-
2.1 The Arabic Alphabet consists of 29 consonants and 11 vocalization marks in the shape of accents.
The structure of the alphabet has only 19 basic shapes.

However, since the letters change their shape according to their position in the word—initial, medial, final, or isolated—then the set of glyphs will add up to 106: 23 letters have four alternative shapes, and 7 letters have two alternative shapes.

If we add the two indispensable ligatures of Lam-Alef, then the number will be 108.

Finally, since the Arabic alphabet is also used in some non-Arab languages, more alterations to the letter were introduced to represent all the additional non-Arabic phonetics that brings the number of glyphs up to 130.
Moreover, the number of glyphs can further increase if we also count all kinds of combinations within the letters if the typeface needs to fully mimic the calligraphic handwritten Arabic script.
So according to each typeface, the number of glyphs can start with 130 and end in the hundreds.

basic-arabic-letterforms.jpg

2.2 The following image shows the four developing layers of the Arabic script
The first line shows only the basic shapes of the letters.
The second line illustrates the added diacritic dots on some letters that require it.
The third line adds the vocalization marks for better pronunciation.
The final line shows a decorated sentence where some decorative elements were added to the script to make it more elegant or holy.
Usually, in everyday text, only the diacritic dots and some vocalization marks will be added to the script.
The decorative elements will only be added to display words or sentences.

arabic-letterforms.jpg

The four typographic elements of the Arabic script are:
1. Basic letterforms;
2. Diacritic Dots;
3. Vocalization marks;
4. Decorative elements, without mentioning the numerals, punctuation marks, and symbols.

TOK KU PALOH ULAMA BESAR TERENGGANU

Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang.  ULAMA Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.

Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.
Baginda menyebut, "Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu," yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.

Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding.
Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh 'mengambil' Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.

"Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah," demikianlah jawapan ulama besar itu.

Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki.
Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.

Lalu Tokku Paloh menyindir, "Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?" sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.

Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar.
Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang. 

Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik.
Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh.
Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget.
Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang.
Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.

Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.

Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford. 
Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh.

Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang. 
Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal.
Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.

Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu.
Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman.

Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.

Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi.
Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalanSyahadat Tokku” iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya.

Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai  Budak Raja”.
Pasukan Budak Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada hari ini.

Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala. 
Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari.

Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya.
Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana. 
Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaituTengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh.

Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri. 
Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun.
Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918.
Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.

(lawan web Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu), koleksi artikel Allahyarham Wan Mohd Shaghir Abdullah.