Blog Tazkirah

Cuma di blog ni, saya kongsikan email-email tazkirah dan yang berkaitan Islam yang saya terima. Pembaca perlu mendapatkan maklumat tambahan mengenai apa yang dibaca. Penulis tidak dapat memastikan semua yang ada di sini adalah benar.

Tuesday, April 26, 2011

TAZKIRAH: 'Doa Untuk Anak Dengar Kata'

TAZKIRAH: 'Doa Untuk Anak Dengar Kata'
Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga.
Ini memang tidak dapat dinafikan, selain usaha-usaha yang perlu kita ambil.
Segala kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.
DOA DISIPLINKAN ANAK
“Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama”
Maksudnya: 
“Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa

 

1. Amalkan membaca baca 'Ya Latif' sebanyak 7 kali dan dihembuskan ke kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.


2. Kita perlu banyak bersabar dalam usaha-usaha kita menangani anak-anak zaman sekarang yang begitu aktif. Kita perlu pujuk bukan marah.


3. Baca al-Fatihah,
4. Baca surah Taha ayat 1- 5.
طه
مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ
إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَىٰ
تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى
الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ

Taa Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.

Kemudian baca doa NABi DAUD sebanyak 3 kali -

۞ وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا ۖ يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ ۖ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud
dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya;
أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
(Serta Kami wahyukan kepadanya):
Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki
dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh,
sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.

"YA ALLAH LEMBUT KAN HATI ANAKKU (SEBUT NAMA)..SEBAGAIMANA ENGKAU LEMBUTKAN NABI DAUD AKAN BESI" dan hembuskan pada makanan atau minumannya.

 
4. Untuk suri rumah yang sedang memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”..
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)
dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan)
dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan)
serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
(ayat Alqur'an 3:200)
Ini diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini InsyaAllah adalah doa pelembut hati.

Kaedah Merawat Demam Menurut Islam

Kaedah Merawat Demam Menurut Islam

oleh: Ustaz Wahid Abd Haniff ( wahid@telagabiru.net.my )

Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman,
“Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”

Abu Hurairah r.a berkata:
“Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”

Sejukkannya dengan Air

Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’ meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:
Maksudnya:
“Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”

Lalu berendam sebanyak 3 kali selama 3 hari berturut-turut. Jika sembuh, alhamdulillah. Jika belum sembuh juga, ulangi hingga 5 hari. Jika belum sembuh juga, maka 7 hari. Biasanya tidak pernah lebih dari 7 hari, dengan izin Allah.

Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya demam itu merupakan legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.”
(Riwayat Muslim no. 5889)

Begitu juga sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.”
(Riwayat Muslim no. 5882)

Membaca Ruqyah

Rasulullah s.a.w. juga menyarankan agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:
Maksudnya:
“Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”

Imam al-Baihaqi juga ada meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata:
“Rasulullah s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan.
Tetapi jika kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’
Aisyah berkata:
‘Ajarilah aku.’
Baginda bersabda:
“Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”

“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.”
Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh.
Dalam satu riwayat ada tambahan,
“Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”

Berpunca daripada Bahang Neraka?

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, maksud ucapan Nabi s.a.w.
“demam itu berpunca daripada bahang neraka jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan dalam hadis yang lain,
“Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang jahanam.”

Di sana ada 2 pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut.
Pendapat pertama menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran.
Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.

Manakala pendapat kedua pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam.
Allah s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka.
Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.

Maksud Air

Ucapan Nabi s.a.w. “sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat 2 pengertian.
Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar.
Ke-2, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita:
“Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam.
Kemudian Ibn Abbas berkata,
‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud),
‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka jahanam.
Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ @ Baginda s.a.w. menyebut, ‘Air zamzam.’”

Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat.
Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain.
Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan.
Dalam 2 pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.

Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan.
Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya’ dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud:
“Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama 3 malam pada waktu fajar.”
(Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)

Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ menyebut:
“Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.”
Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata,
“Hadis tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.”
Yang dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.

Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.”
Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w. meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, kemudian Baginda mandi.”
(Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar)

Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata:
“Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut.
Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):
‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’”
(Riwayat Ibn Majah)

Menurut riwayat sebuah athar iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”

Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya.
Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak 360.
Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.

sumber: SOLUSI

Saturday, April 9, 2011

Doa Tergantung

Salawat ke atas Junjungan Nabi SAW adalah satu amalan yang tidak dapat kita terkaya daripadanya.
Seseorang yang hendakkan kejayaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat mesti senantiasa membasahkan lidahnya dengan ucapan Salawat ke atas Junjungan SAW.
Salawat juga menjadi sebab bagai terkabulnya segala hajat dan permintaan, bahkan dikatakan bahawa segala permohonan dan doa itu hanya akan tertahan langit dan bumi, tak boleh dibawa naik-naik ke langit kemuliaan jika si pendoa lalai dari berSalawat atas Junjungan SAW.
Besar sungguh nikmat dan wasilah amalan Salawat ini.
Imam at-Tarmidzi rahimahUllah meriwayatkan dalam "Sunan"nya pada "Kitab al-Witr - Bab Ma Jaa-a fi Fadhl ash-Sholaah 'ala an-Nabiy SAW" bahawa Sayyidina 'Umar RA berkata:

"Sesungguhnya sesuatu doa itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak naik sesuatupun daripadanya sehingga orang yang berdoa tersebut berSalawat ke atas Nabimu SAW."
Difahami bahawa doa dan munajat seseorang hamba yang faqir lagi hina, penghuni alam sufli (rendah) berupa bumi ciptaan Allah SWT, tidak akan dibawa naik ke alam 'ulwi, kerajaan atas di langit (viz. kerajaan langit tapi bukan kerajaan langit Ayappan @ Ayah Pin).
Dan jangan juga beri'tiqad yang Allah itu duduk bertempat di langit, harus difahami bahawa langit itu tempat pusat kerajaanNya dengan arasy sebagai pusat pemerintahan dan makhlukNya yang terbesar.
Langit itu punya penghuni sendiri dari kalangan hamba-hamba Allah yang mulia, para malaikat yang maksum. Diangkatnya doa seseorang ke langit itu memberi faham bahawa doa tersebut adalah sesuatu yang bakal dimuliakan dengan nilaian ibadah dan insya-Allah akan dikabulkan oleh Allah SWT.
Kalau tidak diangkat ertinya doa tersebut tiada class dan direject.

Dikatakan bahawa Kaabah adalah qiblat sewaktu kita berSolat, dan langit itu qiblat bagi seseorang yang berdoa.
Makanya, tatkala berdoa seseorang itu disunnatkan untuk menadah tangan ke langit.
Menadah tangan ke langit bukan ertinya Allah itu bertempat di langit kerana Allah ta`ala itu tidak mengambil tempat dan ruang, dan tidak juga berjihat.
Ini tidaklah menafikan elok dan bagusnya untuk seseorang berdoa dengan mengadap juga ke BaitUllah, melainkan dalam beberapa keadaan yang dijelaskan oleh para ulama kita.

Imam al-Qurthubi rahimahUllah menulis dalam tafsirnya "al-Jami' li Ahkam al-Quran", juzuk 9 halaman 436 sebagai berikut:-
"... Adapun sebab diangkat tangan ketika berdoa ke langit adalah kerana langit adalah tempat turunnya wahyu, turunnya hujan, tempat yang suci, tempat makhluk-makhluk yang suci daripada kalangan malaikat. Di atas langit terdapat 'arsy dan syurga."

Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam "Syarah Muslim" tatkala memperjelaskan makna "hadith jariah" yang masyhur itu, menulis, antara lain, seperti berikut:-
Dialah Allah yang Maha Esa yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap Kaabah,
dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap Kaabah ketika berSolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) Kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah).
Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang Solat.

Allahu .. Allah, betapa besarnya wasilah Salawat atas Junjungan Nabi SAW yang dengannya doa yang keluar dari seseorang hamba ini akan dapat naik ke langit kemuliaan untuk diterima dan dikabulkan.
Maka jangan hanya tahu meminta tetapi malas berSalawat atas Nabi yang dengan keberkatannya terkabul segala permintaan.

Minta jangan tak minta, tapi jangan lupa Salawatnya.